
Kuala Lumpur, 18hb Mach 2010 – Bagi julung kalinya Persatuan Sukan Bermotor (“MAM”) penggalak sukan bermotor akar umbi dan Komuniti WHEELSPIN Motorsports akan menganjurkan ’Motorsports Day 2010’ bertujuan untuk memupuk hubungan antara peminat-peminat dari semua disiplin sukan bermotor di Malaysia, memberi peluang kepada pengunjung untuk mengetahui lebih dekat tentang acara-acara sukan bermotor yang diadakan dalam negara dan dengan industri-industri berkaitan disatu lokasi setempat.
Para penganjur, pasukan-pasukan dan penggemar Rallying, Autocross, Drifting, SuperMoto dan kereta-kereta lumba klasik dijangka akan dipamerkan dari jam 2.00 petang - 6.00 petang pada hari Ahad 21 Mac di medan kereta W2 Stadium Shah Alam, Selangor. Juga menarik minat ialah buggies yang jarang-jarang kelihatan di mana-mana acara sukan bermotor yang diadakan di Malaysia. Pelumba-pelumba wanita Gina Finanza, Leona Chin, Guanne Khoo dan Valerie Atkinson juga akan hadir dengan kereta masing-masing dan bergaya untuk sessi bergambar dengan para pengunjung.
Terdapat juga beberapa pameran dari pasukan GSR-Pennzoil Rally, REDLINE Racing, WRC Motorsports, GRA Autocross, SMS Kart Slalom & Autokhana, pemilik Subaru Impreza dan Siri Rally X. Juga membuat kemunculan buat pertama kalinya ialah penunggang SuperMoto Australia iaitu Dennis Andrado dengan motorsikal Aprilia 550 specifikasi ‘custom’ yang akan menunjukkan aksi tunggangan drift.
“Objektif kita di MAM adalah untuk mewujudkan kesedaran umum bagi acara-acara akar umbi sukan bermotor yang boleh didapati di Malaysia dan sesiapa juga dipersilakan datang ke MAM untuk panduan dan bimbingan mengenai cara-cara bermula sama ada pada tahap amatur atau profesional” kata En Masshoud, Pengurus Projek Khas MAM.
“Penglibatan kita di WHEELSPIN adalah untuk membantu ahli-ahli komuniti sukan bermotor memasarkan diri, pasukan atau organisasi mereka selain daripada penyertaan acara itu sendiri. Cara ini dijangka dapat menjana lebih pengiktirafan peribadi bagi pasukan atau penaja. Perhimpunan julung kali ini hanya secara kecil-kecilan dan kami berharap ianya akan berkembang dan kami bersedia untuk menganjurkan lebih banyak acara sebegini pada masa akan datang” kata pengasas WHEELSPIN Jagjeet Singh.